Thursday, December 11, 2008

Kita Semua Adalah Tempayan Retak

Seorang tukang air di India memiliki dua tempayan besar; masing-masing bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan, yang dibawanya menyilang pada bahunya.

Salah satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satu lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan retak itu hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya, kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akan ketidak sempurnaannya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari paras yang seharusnya dapat diberikannya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si tukang air, "Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf kepadamu." "Kenapa?" tanya si tukang air. "Kenapa kamu merasa malu?" "Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah paras air dari yang seharusnya dapat saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi," kata tempayan itu.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, ia berkata, "Jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memperhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan." Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memperhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan kembali tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu, "Apakah kamu memperhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang lain yang tidak retak itu? Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku memanfaatkannya."

"Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu, dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang."

Setiap dari kita memiliki cacat dan kekurangan kita sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Allah Maha Bijaksana, tak ada yang terbuang percuma. Jangan takut akan kekuranganmu. Kenalilah kelemahanmu dan Ketahuilah, di dalam kelemahan kita, kita menemukan kekuatan kita.

Doa Istikharah


Tuhanku
Seandainya telah Engkau ciptakan dia milikku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Tetapkanlah kemesraan antara kami
Agar kebahagiaan ini kekal abadi
Dan Tuhanku
Seiringkanlah langkah kami
Mengharungi hidup yang luas ini
Ketepian yang sejahtera

Tetapi Tuhanku
Seandainya Kau takdirkan dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Luput dari ingatanku
Dan peliharalah diriku dari kecewa
Serta Tuhan yang Maha Mengetahui
Berikanlah aku kekuatan
Melontar bayangannya ke dada langit
Hilang bersama senja merah
Dan gelap pekat awan
Agar aku bisa bahagia
Walaupun tanpa dirinya

Kau Tuhanku yang Maha Pencipta
Gantikanlah yang telah hilang
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah
Meskipun tidak sama dengan dirinya
Biar sekuat mana aku mencintainya
Aku pohon agar Tuhanku
Melenyapkan akan perasaan ini
Sekiranya dia bukan ditakdirkan untukku

Aku pohon agar takdir memperkuatkan kasihku padanya
Selagi tidak melebihi kasihku padaMu

Amin...Amin..Ya Rabbal A’lamin

Wednesday, December 10, 2008

NILAIAN RAMADHAN ANTARA UMAT TERDAHULU DAN MASA KINI

(Peraduan Menulis Esei Kamsis Rahim Kajai, UKM)

Ramadhan kini muncul lagi meninggalkan Sya’ban yang penuh berkah. Bagi mereka yang sentiasa merindui kehadirannya, pastinya mengucapkan seribu kesyukuran kepada-Nya kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk kembali mengecap kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya.

Pada bulan ini. Terbukalah pintu langit dan pintu-pintu syurga. Dalam erti kata lain, bulan yang diterima Allah segala doa hamba-Nya, bulan hamba-Nya menempuh syurga, bulan yang digalakkan hamba-Nya untuk memperbanyakkan istighfar juga bulan yang mudah diterima keampunan dan taubat hamba-Nya. Ramadhan juga adalah bulan untuk hamba-Nya memperbanyakkan amal ibadah dan berbakti kepada-Nya serta bulan yang mudah untuk mencapai keredhaan Allah Taala.

Begitulah indahnya Ramadhan. Tak mampu diungkapkan dengan kata-kata betapa kelebihan yang ada padanya tak terhitung banyaknya. Namun begitu, menyorot kepada sambutan kedatangan bulan Ramadhan dahulu dan dewasa ini terasa sekali betapa kemanisan Ramadhan semakin kurang. Begitulah hakikatnya, kemeriahan Ramadhan pada suatu masa dahulu tidak sama dengan apa yang kita kecapi masa kini. Hal ini dapat dibuktikan sekiranya kita mengkaji kembali suasana ketika itu melalui beberapa situasi.

Pernah diriwayatkan kisah para wali Allah di zaman silam, apabila berakhirnya Ramadhan maka menangislah mereka kerana berpisah dengan bulan yang paling mulia ini. Bulan yang dilipatgandakan oleh Allah akan pahala setiap ibadah yang dikerjakan. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui kembali bulan yang mulia ini pada tahun-tahun hadapan, andainya ajal menjemput datang. Ketika itu, mereka sering merindukan kedatangan malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang solehin, yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Pada waktu malam pula mereka menangis, merayu-rayu serta menghibakan diri mengharapkan keampunan Allah. Setiap masa mereka menghitung dosa-dosa dan kemaksiatan yang mereka lakukan. Mereka takut seandainya Allah Taala tidak menerima taubat serta rayuan-rayuan mereka. Maka kepada siapakah lagi mereka memohon selain daripada Allah?.

Melihat kepada senario ketika period Rasulullah S.a.w serta para sahabat, amat menyedihkan andainya diinsafi betapa mereka pada siangnya berpuasa dan beribadah serta tetap mengerjakan pekerjaan-pekerjaan seharian mereka. Malah Perang badar umat Islam melawan kafir Quraisy berlaku pada bulan Ramadhan. Bahkan juga, peperangan ini turut membawa kemenangan di pihak umat Islam. Dugaan-dugaan sedemikian tidak sedikit pun mengubah keimanan mereka. Bahkan memantapkan lagi keimanan mereka kepada-Nya. Mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap masa dan ketika, malam dan siang.

Apabila tibanya waktu berbuka pula, mereka hanya dapat menikmati hidangan yang ala kadar sahaja. Bahkan Rasulullah S.a.w dan keluarganya selalu hanya dapat menikmati sebiji tamar serta air kosong untuk berbuka. Namun begitu, mereka tetap mensyukuri nikmat-nikmat Allah dalam setiap masa dan ketika. Mereka sentiasa berpegang dengan ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmatKu, tetapi sekiranya kamu kufur sesungguhnya azabKu amat pedih”- Surah.....

Pada zaman pemerintahan Saidina Ali Bin Abi Thalib, pernah diriwayatkan satu kisah yang menggambarkan keadaan umat Islam pada masa itu. Dikatakan bahawa Saidina Ali pada suatu ketika keluar dari rumahnya dan melintasi hadapan masjid-masjid. Kedengaran baginya di setiap masjid orang-orang yang membaca Al-Quran bagaikan bunyi lebah-lebah yang begitu banyak sekali. Situasi ini menggambarkan kepada kita bahawa rumah-rumah Allah sentiasa dihiasi dengan bacaan-bacaan Al-Quran, selain daripada pelaksanaan solat sunat tarawikh pada waktu malamnya.
Demikianlah, apa yang dapat diutarakan ialah betapa umat terdahulu mengagung-agungkan bulan Ramadhan. Sesuai dengan kemuliaannya sebagai bulan maghfirah dan keberkatan. Justeru, apa yang dapat diperhatikan ialah kisah-kisah sedemikian bagaikan kenangan-kenangan zaman silam semata-mata yang pastinya sukar untuk dikembalikan dewasa ini.

Melihat kepada fenomena masa kini, apabila disebut bulan Ramadhan, apa yang terbayang di minda adalah keseronokan menyambut hari raya. Terdapat juga golongan yang menganggap Ramdhan sebagai menyusahkan kerana ketika ini mereka terpaksa berpuasa dan solat sunat tarawikh pula menjadi bebanan sahaja.

Kenyataannya, bagi mereka yang tidak menanggapi serta tidak mencuba menghayati fadhilat-fadhilat yang terkandung di dalamnya maka sudah pasti akan rasa terbeban dalam menghadapi kemunculan Ramadhan. Malahan, tidaklah janggal atau keterlaluan seandainya dikatakan bahawa pasti ada pihak yang memikirkan alangkah baiknya jika Ramadhan tidak akan muncul buat selama-lamanya. Anehnya, satu Syawal lebih bermakna, sungghpun mereka tidak pernah mencuba untuk bermujahadatunnafs.

Jelas bagi kita juga, jikalau dahulu Rasulullah S.a.w seringkali berbuka dengan hanya beberapa biji kurma dan air kosong, tetapi dewasa ini apa yang dapat dilihat ialah umat Islam sendiri seolah-olah menjadikan waktu berbuka puasa bagaikan majlis kenduri-kendara. Pelbagai jenis makanan didapati dengan mewahnya. Dengan erti kata lain, berbuka puasa kerap dibuat secara besar-besaran serta melibatkan perbelanjaan yang amat banyak. Malah, perbelanjaan ketika bulan puasa lebih berlipat kali ganda berbanding hari-hari biasa.

Demikian juga, tatkala Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya. Motif idea kini ialah memikirkan berkenaan pakaian dan hidangan yang bakal dipakai serta disaji dan dihidangkan ketika hari raya nanti. Amat jarang sekali menghitung dan menilai amalan-amalan yang telah dilakukan, adakah amalan-amalan itu telah diterima Allah? Adakah amalan-amalan itu telah memadai sebagai bekalan menuju penghujung usia? Atau adakah taubat yang dilakukan pada masa itu telah diterima Allah dan segala dosa telah diammpunkan Allah?. Segalanya menjadi persoalan kedua. Yang penting adalah kemeriahan hari raya dan masa untuk terlepas daripada bertahan daripada lapar dan dahaga.

Sungguhpun tidak semua umat Islam bersikap sedemikan, namun persoalan perbelanjaan yang berlebih-lebihan tetap menjadi agenda utama. Bagi mereka, apalah salahnya untuk menghabiskan wang secara berlebih sedikit daripada biasa kerana hari raya cuma setahun sekali. Walau apapun alasannya, kemanisan Ramadhan tetap tak seperti dahulu, walau banyak aktiviti yang berbentuk keagamaan yang tetap diadakan sehingga kini. Percaya atau tidak, tanyalah hati sendiri adakah kita semakin dapat menghayati Ramadhan ataukah tidak mendapat apa-apa darinya.

Tuntasnya, marilah kita sama-sama berfikir adakah Ramdhan telah semakin dapat meningkatkan keimanan dan mendekatkan diri kita kepada Allah Taala atau mungkin tetap seperti di takuk lama. Yang penting Ramadhan datang dan pergi. Ia juga belum pasti akan dapat menemui atau kita menemuinya seperti pada tahun ini.

Justeru, marilah bersama memperbanyakkan amal dan sentiasa memohon keampunan dari-Nya. Mudah-mudahan segala amalan dan taubat kita itu diterima olen-Nya..Amin..janganlaj ua membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Manfaatkanlah keberkatan dan kemuliaannya. Jangan nanti Ramadhan berlalu, barulah kita menitiskan air mata penyesalan kerana tidak mengendahkan kedatangannya. Moga rahmat Allah Taala sentiasa mengiringi setiap arah dan langkah kita juga seluruh umat mukminin dan mukminat di seluruh dunia..Amin..